Friday, July 16, 2010

Harga yang perlu dibayar untuk barang keperluan pada hari ini.

Kerajaan kurang subsidi


KUALA LUMPUR - Kerajaan semalam mengumumkan bahawa subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG), serta gula akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa hari ini.

Subsidi bagi RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak 5 sen seliter manakala LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Ini bermakna petrol RON 95 dijual pada RM1.85 seliter manakala LPG berharga RM1.85 sekilogram.

“RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.

“Bagi gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama menyebut, perubahan minimum itu akan membantu negara mencapai kedudukan tanggungjawab fiskal dan meletakkan kita pada kedudukan untuk mengurangkan defisit.

“Bagi memenuhi objektif ini, kerajaan membuat pelarasan terhadap subsidi.

Walaupun telah membuat perubahan ini, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010. Harga bahan api dan gula di Malaysia masih antara yang terendah di rantau ini,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan anggaran, rasionalisasi subsidi ini membolehkan negara mengurangkan perbelanjaan melebihi RM750 juta pada 2010.

Keputusan mengurangkan subsidi bahan api dan gula adalah berasaskan pada hakikat bahawa pengurangan subsidi bahan api akan memberi impak terbesar ke atas perbelanjaan manakala pengurangan subsidi gula pula membolehkan kerajaan mempromosi gaya hidup sihat.

Di ALOR SETAR, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengurangan subsidi secara minimum itu tidak akan membebankan rakyat.

“Apabila kerajaan mengurangkan subsidi, kita akan gunakan peruntukan itu untuk membangunkan masyarakat di luar bandar. Contohnya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memerlukan RM18 bilion dalam masa dua tahun untuk mengisi agenda pembangunan luar bandar termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta rakyat supaya memahami perubahan yang dibuat dalam aspek yang positif.

“Selain mengurangkan perbelanjaan, kita turut mencari peruntukan tambahan untuk bangunkan kawasan luar bandar. Minta rakyat faham kenapa perubahan ini dibuat kerana ada kebaikannya. Saya percaya jika dibuat secara bersungguh-sungguh, kita mampu tingkatkan keyakinan rakyat,” katanya.

Najib berkata, penjimatan perbelanjaan kelak akan memberi gambaran baik terhadap mengukuhkan kedudukan kewangan negara, selain dapat mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia bertambah yakin kepada kekuatan ekonomi negara,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7961464.asp

No comments:

Post a Comment