Tuesday, July 13, 2010

Bersatulah wahai Umat Islam.


Assalamualaikum w.b.t,

Sekarang ni heboh dengan agenda perpaduan antara dua Parti Melayu Islam di Malaysia. Akhbar saban hari menceritakan pelbagai topik berkaitan perpaduan umat Islam yang bertunjangkan semangat 1 Akidah, bukan setakat 1 MALAYSIA ataupun semangat Assabiah Kepartian. Islam tidak mungkin akan tertegak selagi umat Islam tidak bersatu. Kita ambil contoh Hijrah Rasulullah S.A.W ke Yathrib (Madinah) 1431 tahun dahulu. Perkara pertama yang Rasulullah S.A.W ambil tatkala tiba di Yathrib adalah dengan menyatukan bangsa Aus & Khazraj menjadi Ansar. Manakala mereka yang berhijrah dari Mekah dinamakan sebagai Muhajirin. Selepas penyatuan antara Ansar & Muhajirin berjaya Rasulullah lakukan, barulah Rasulullah menggubal Piagam Madinah (Sohifatul Madinah).

Persoalannya, kenapa tidak Rasulullah menggubal dulu Piagam Madinah dan kemudian barulah menyatukan penduduk Yathrib? Ini kerana, Rasulullah tahu bahawasanya, di Yathrib bukan orang Islam sahaja yang mendiaminya, bahkan penganut Yahudi dan Nasrani turut sama mendiaminya. Oleh sebab itu, bagi menunjukkan kekuatan Umat Islam, Nabi telah mempersaudarakan setiap Muslim di Madinah. Lantas, Bumi Cinta terhasil dengan bertunjangkan Akidah yang sama & akhirnya diperelokkan dengan cinta yang terhasil dari perasaan Ukhwah yang telah Rasulullah tanamkan dalam hati penduduk Madinah.

Umat Islam di Malaysia amnya, haruslah menanamkan satu semangat mencintai saudara seagama agar perpaduan, persefahaman, kesepakatan & akhirnya keteguhan dan kekuatan dapat kita gembleng menjadi satu sumber yang akan menjadi manfaat kepada umat Islam keseluruhannya.

Jadi apa kaitannya dengan politik semasa Malaysia? Sebagaimana yang diketahui, di Malaysia ada dua Parti Majoriti Melayu iaitu PAS (ISLAM) & UMNO (SEKULAR). Pada saya, yang menjadi penyebab kepada perpecahan antara orang Islam di Malaysia adalah kerana terhadnya ruang muzakarah antara UMNO & PAS. Masing-masing mempunyai persepsi negatif antara satu-sama lain. Sepanjang 53 tahun merdeka, sudah berapa kalikah kedua-dua parti ini duduk semeja membincangkan satu-satu isu berkaitan kepentingan umat Islam di Malaysia secara konstruktif?

Ego antara kedua-dua parti yang saling merasakan mereka lebih Islamik haruslah dibuang jauh-jauh(Walaupun PAS lebih Islamik daripada UMNO). PAS haruslah memberi ruang dan peluang UMNO untuk mempelajari Islam kerana pada pandangan peribadi saya, UMNO telah tersesat jauh dari landasan Islam. Berikan peluang kepada kepimpinan mereka untuk merubah parti itu dari dalam. PAS yang lebih senior dalam bidang politik Islam haruslah bertindak seperti pendakwah yang Fatonah dalam berdakwah. UMNO walaupun berpangkat Abang mestilah menerima sepenuhnya dakwah Islamiyyah yang dibawa oleh PAS atau mana-mana Ulamak selagi mereka berpegang kepada yang hak dan menjauhi yang bathil.

Masih tidak terlambat bagi kedua-dua parti bersatu walaupun bukan atas semangat kepartian, tetapi sekurang-kurangnya atas dasar pegangan Akidah yang sama. Jangan dilupa, tidak pernah Allah turunkan Al-Quran kepada Rasulullah S.A.W hanya sebagai perhiasan, tetapi berhukumlah dengan-Nya disamping tidak meninggalkan Hadith. Saya optimis, bahawa Umat Melayu masih boleh bersatu atas dasar kepentingan agama biarpun bersengketa kerana perkara lain.

Sekian, wassalam.



No comments:

Post a Comment